Mengisahkan Adam, seorang ustaz muda yang terkenal kerana ilmunya, rupa parasnya yang kacak dan merupakan anak lelaki kepada penceramah bebas yang cukup terkenal, iaitu Datuk Ayah Haji Mukhsin. Banyak tawaran pekerjaan Adam terima sekembalinya ke Malaysia.
Adam bakal ditunangkan dengan Qhadeeja, seorang doktor muda, juga anak kepada seorang usahawan terkenal yang cukup rapat dengan Datuk Ayah Haji Mukhsin. Adam terpaksa bersetuju bertunang dengan Qhadeeja kerana tidak mahu menyusahkan dan menghampakan keluarganya itu. Adam sering mendapat soalan daripada pengirim misteri ketika memberi kuliah di masjid. Rupanya soalan itu datang daripada Nur, seorang pelacur yang mempunyai minat untuk mendalami agama Islam.
Lama-kelamaan, mereka jatuh cinta kerana agama dan Allah SWT. Namun hubungan mereka mendapat tentangan hebat daripada keluarga dan masyarakat. Apa yang bakal berlaku seterusnya?, Apakah Nur mempunyai sinar harapan untuk hidup bersama Adam?
Faiq dan Delisha, pasangan suami isteri yang satu kepala sukakan kebebasan, kemewahan, dan berseronok tanpa batas. Segala nasihat yang diberi bagai mencurah air ke daun keladi. Merajuk ditegur keluarga, natijahnya mereka lari meninggalkan rumah.
Setelah sebulan, mereka pulang tetapi terkejut apabila keluarga mereka menghilang secara tiba-tiba! Banglo dijual dan syarikat keluarga bertukar hak milik kepada orang lain. Puas mereka mencari penyebabnya, namun tiada apa yang diperoleh. Keluarga tak ditemui, duit pula kian habis.
Akhirnya, hendak atau tidak mereka terpaksa memulakan kehidupan dari bawah kerana tiada apa lagi yang mampu digadai.
Apa sahaja kerja termasuk kerja yang mereka pandang hina suatu ketika dulu rela dilakukan demi sesuap nasi. Tak kesahlah tukang cuci ke, buruh kontrak ke, pekerja kafe hatta pengawal keselamatan sekalipun mereka sanggup.
Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, sama juga dengan hidup Faiq dan Delisha. Ujian itu pasti singgah dalam apa jua keadaan, namun mampukah mereka menempuhi ujian-ujian yang mendatang bersama? Masih ada atau tidak peluang untuk bertemu keluarga mereka yang hilang, dan apa reaksi mereka apabila melihat keadaan Faiq dan Delisha ketika itu?
Watak Nasir Bilal Khan sebagai Tok Adi dalam drama Tanah Kubur akan menjadi fokus dalam drama istimewa 'Tok Adi' sebanyak 10 episod. Drama arahan Rashid Sibir ini turut dibintangi oleh Izzue Islam, Saharul Ridzwa, Fouziah Gous dan Hamidah Wahad.
Mengisahkan percintaan Afia Awliya dalam mencapai kebahagiaan dalam kehidupan. Afia Awliya bercinta dengan Fayyad Syakir. Namun Fayyad Syakir tiba-tiba meminang Afia Awliya untuk sahabatnya, Megat Wakeel yang sakit. Afia kecewa kerana Fayyad mahu menjudikan cinta mereka begitu. Namun Afia kemudiannya bersetuju untuk mengahwini Wakeel kerana sifat penyayangnya.
Pada masa yang sama, abang kepada Wakeel, Megat Aathif yang turut mengejar cinta Afia menghalang cadangan Wakeel untuk mengahwini Afia. Namun Aathif redha dengan keputusan itu. Afia mengahwini Wakeel yang menghidap kanser buah pinggang. Sejak itu, Bermulalah kehidupannya berhadapan dengan Aathif yang tidak dapat menerima Afia sebagai adik iparnya. Namun, ketelusan yang ditonjolkan Pia berjaya membuktikan mereka bahagia.
Pemergian Wakeel menyebabkan Afia mengalami kemurungan. Dia kini berhadapan dengan Fayyad yang kembali menagih cintanya. Namun Afia memilih untuk berkahwin dengan Aathif, abang Wakeel yang sememangnya menaruh perasaan pada Afia sejak mula. Perkahwinan mereka mula diuji apabila Aathif perasan akan perubahan diri Afia yang suka bercakap seorang diri dan menuduh Aathif mempunyai perempuan lain. Apabila diperiksa doktor, Afia disahkan mengalami gangguan.
Maharaja Lawak Mega 2017 telah kembali lagi dengan bertemakan "Empayar Lawak" dan menampilkan 15 lanun lawak dari 3 buah negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia bagi merebut gelaran juara Maharaja Lawak Mega yang baru.
Bermacam-macam usaha yang Carl Adham buat untuk memikat hati Aerna, namun untuk menerima lelaki itu memang agak payah. Mana tidaknya, mereka baru saja bertemu. Tiba-tiba lelaki itu ajak dia tunang kemudian bernikah?
Semua orang di ofis gelarkan Aerna sebagai Cik Serba Tahu sebab semuanya dia boleh tahu. Sebab benda yang diagak selalunya betul dan banyak rahsia yang dia tahu terutama rahsia Encik Ben dan Encik Bun.
Dan disebabkan serba tahunya itu, bapaknya bimbang jika anaknya itu terlupa tentang diri sendiri. Bapak Aerna nekad untuk cepat-cepat mengahwinkan anaknya dengan sesiapa saja yang gentleman asalkan Aerna membuka hati untuk menerima cinta. Adakah dengan mudah Aerna dapat menerima pilihan bapaknya? Adakah Aerna akan bersedia membuka pintu hatinya seperti yang dipinta oleh bapaknya?
Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2017 diadakan bagi mengiktiraf drama-drama yang bersiaran sepanjang tahun 2016. DFKL tahun ini mengangkat tema “#CeritaKita”. Tema ini lebih memberikan impak secara langsung kerana pengisiannya adalah refleksi kepada kehidupan seharian kita. Malam kemuncak Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur 2017 akan diadakan secara langsung dari Putrajaya International Convention Centre (PICC) pada 9 April 2017, jam 9 malam di TV3.
Salah seorang dari junior forensik mula didatangi oleh 'hantu' wanita mangsa bunuh. Dia dan rakan-rakan forensiknya mula membongkar rahsia wanita itu yang membawa mereka ke sebuah estet.
Walaupun sangat cemerlang di kolejnya, Adam disyaki mengidap penyakit Bipolar, yang mengakibatkan mengamuk atau panas baran secara tiba-tiba. Kakak dan pensyarah Adam cuba membantunya.
Ezad dan Yana terpaksa menghabiskan cuti sekolahnya di kampung. Ketika disana mereka mendapati terdapat sesuatu di sebalik surau Kampung Kemenyan?